Akhlak Muttaqin : Bijak Menangani Kepelbagaian
BINGKISAN AKHIR RAMADHAN 1437H
Akhlak Muttaqin : Bijak Menangani Kepelbagaian
Dengan Ramadhan kareem yang berbaki tak sampai sepuluh hari lagi ini, ayuh kita merenung ke dalam diri - membuat refleksi dan muhasabah terhadap prestasi dan kualiti latihan madrasah Ramadhan yang telah kita sama-sama jalani setakat ini.
Bertanya dengan sejujurnya kepada diri : `Berjayakah daku meraih TAQWA di akhir sesi tarbiah ini? Apa buktinya tahap taqwa sudah melonjak di dada ( at Taqwa ha huna - pesan Rasulullah SAW sebanyak 3 kali sambil menunjuk ke dada baginda yang mulia)?
Seperkara yang menarik perhatian Dr Har sepanjang Ramadhan kali ini, terdapat fenomena ketara yang menuntut kita menyatakan sikap dan pendapat serta pandangan dalam banyak perkara yang menjadi topik umum.
Isu semasa yang mempunyai kesan langsung terhadap kehidupan di negara tercinta ini - baik aspek ekonomi, politik, agama, sosial, kesihatan dan pendidikan - menuntut setiap seorang kita untuk mempunyai pendirian masing-masing.
Bila terdapat begitu banyak isu dan permasalahan yang saban hari semakin menokok tambah sedangkan yang dah bertahun pun masih belum bertemu titik penyelesaiannya - bayangkan betapa besar jurang dan skala magnitud kepelbagaian pendapat dan pandangan serta perspektif yang ada dalam masyarakat hari ini.
Ibarat kisah purba masyarakat India mengenai enam orang buta yang cuba membayangkan bagaimana rupa sebenar seekor gajah yang besar - masing-masing mempunyai perspektif tersendiri yang disimpulkan dari bahagian gajah yang disentuh dan dipegang.
John Godfrey Saxe, seorang penyajak Amerika (1816 - 1887) menukil sebuah sajak untuk kisah purba tersebut berjudul The Blind Men of Indostan & the Elephant'. Di perenggan akhir, beliau menyimpulkan, bagaimana setiap hujah memang ada terkandung sebahagian kebenaran, namun untuk menyandarkan kesimpulan hanya kepada perspektif kita semata-mata dan menafikan pendapat orang lain - menyebabkan kekeliruan dan kesilapan yang jauh terpesong.
Bagaimanakah kebiasaan manusia menangani kepelbagaian pendapat yang ada di sekelilingnya?
Terdapat TIGA cara seseorang berhadapan dengan pandangan yang bertentangan dengan apa yang dipegangnya :
1. MENOLAK & MEMBENCI kepelbagaian - bertindak AGRESIF membantah dan menolak sekeras-kerasnya pandangan lain yang berbeza dengannya. Minda, hati dan telinga tertutup rapat dari mempertimbangkan perspektif orang lain. Pendapat berbeza dianggap sebagai ancaman dan bahaya besar yang mesti dilawan dan digempur. Kalau dulu dianggap kawan dan teman, hari ini siapa yang berbeza pegangan dianggap musuh yang harus ditentang habis-habisan. Berpatah arang, berkerat rotan! Hampir pasti Eidul Fitri kali ini, tiada lagi sapaan mesra, kunjungan ukhuwwah dan genggaman salam silaturrahmi!
2. MENERIMA & TOLERANSI - akibat rasa tak kuasa untuk berbalah, ramai juga yang menerima sahaja perbezaaan pandangan yang diutarakan. Demi menjaga keharmonian bersama, dipaksakan diri mengangguk-angguk, bermuka manis dan pura-pura setuju walau di hati meronta-ronta membantah. Di belakang, begitu meluap-luap ketidaksetujuannya, namun bila berdepan - pijak semut pun tak mati. Hidup penuh hipokrit - apa nak buat, kita tiada daya. Akhirnya, senang cerita - perkataan PASIF-AGRESIF inilah yang sering terpacul dari mulut : ADA AKU KISAH????
3. MERAIKAN & MENGHARGAI kepelbagaian pandangan sebagai suatu yang positif dan penting untuk dipertimbangkan. Sedar diri bahawa fikiran dan pendapatnya seorang tidak akan dapat mengatasi kehebatan paduan dan olahan pandangan yang dirumus dari input ramai yang sama cerdik dan bijaksana. Bersedia untuk mengubah pandangan peribadi yang sempit dan silap namun dalam masa yang sama, cukup izzah untuk mengutarakan hujahnya untuk dipertimbangkan oleh orang lain. Strategi menang-menang hanya dapat digalas oleh individu yang mampu mendidik diri bersifat ASERTIF.
Maka itulah kesimpulan latihan madrasah Ramadhan kali ini....muttaqin seharusnya mampu mendidik diri untuk mengambil pendekatan terbaik - MERAIKAN & MENGHARGAI kepelbagaian pendapat dan pandangan di sekeliling kita.
Bukan menjadi semakin ekslusif, diskriminatif dan rasis - yang terhasil dari sifat bangga & bongkak yang diwarisi dari Syaitan laknatullah ( Ana khairu minhu - Aku lebih baik darinya!) ataupun sifat takut yang mendokong mentaliti terjajah (oppressed mentality) yang sentiasa cemas dan rasa lemah tak berdaya, bimbang musuh tradisinya akan menyerang bila-bila masa!
Ayuh para bakal graduan madrasah Ramadhan 1437H....
Keluarlah dari kem latihan ini dengan iman dan taqwa yang semakin menebal, Penuh izzah untuk bertebaran di atas muka bumi Allah SWT ini, Mendokong misi dakwah, meyebarkan sayap kerahmahan Bahawa Islam membawa solusi penyelesaian Bukannya menjadi punca permasalahan.... Bahawasanya Islam bukan milik orang atau kelompok persendirian
Rahmah Islam menaungi semua......
Ayuh, kita sambut cabaran untuk menjadikan slogan itu satu realiti yang ditunggu-tunggu dunia!
Wallahu a'lam